Status Hadis Bumi Dilipat Di Malam Hari




Teks Hadis

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, Rasulullah s.a.w. bersabda,


عَلَيْكُمْ بِالدُّلْجَةِ فَإِنَّ الْأَرْضَ تُطْوَى بِاللَّيْلِ
“Hendaklah kalian melakukan perjalanan pada waktu malam kerana sesungguhnya bumi itu dilipatkan di malam hari.”


Sumber Hadis
1. Riwayat Abu Daud no. 2571

2. Riwayat Ahmad no. 15091

3. Riwayat al-Hakim no. 1630

4. Riwayat ibn Khuzaimah no. 2555

5. Riwayat al-Baihaqi no. 10342


Status Hadis
1. Hadis ini dinilai sahih lighairihi menurut Syaikh Syuaib al-Arnauth. Sanad hadis ini asalnya hasan namun dikuatkan dengan sanad daripada jalan periwayatan yang lain. (Sunan Abu Daud 4/217)

2. Berkata al-Hafiz al-Iraqi, “Sanad riwayat Abu Daud itu hasan.” (Takhrij Ahadith Ihya’ Ulumiddin 2/647)


Faedah Hadis
1. Al-Duljah bermaksud perjalanan di waktu malam. Cuma para ulama berbeza pendapat sama ada yang dimaksudkan dengan al-Duljah itu awal malam, akhir malam atau seluruh malam. Pandangan yang terpilih ialah seluruh malam sebagaimana yang disebutkan oleh al-Munawi. (Faidh al-Qadir 4/340)

2. Hadis ini menunjukkan galakan untuk bermusafir pada waktu malam terutama di kawasan padang pasir yang panas atau tempat panas yang lain. Tambahan pula, musafir pada waktu dahulu menggunakan haiwan tunggangan. Berkata ibn Abdil Bar, “Adapun maksud bumi itu dilipatkan pada waktu malam ialah -wallahua’lam- jika haiwan tunggangan berehat pada siang hari, maka ia boleh berjalan di waktu malam dengan lebih tenang berbanding berjalan di siang hari. Kerana itulah Rasulullah s.a.w. menggalakan melakukan perjalanan di malam hari.” (al-Istizkar 8/535)

3. Perjalanan pada waktu malam biasanya terasa lebih cepat dan tenang berbanding waktu siang. Berkata al-Munawi, “Satu per satu halangan berkurang dan jarak perjalanan juga lebih singkat berbanding perjalanan di siang hari yang tidak terasa ianya disingkatkan. Suruhan Nabi ini berbentuk irsyad sahaja (panduan/tip).” (al-Taisir bi Syarh al-Jami’ al-Saghir 2/140)

4. Musafir di waktu malam merupakan kebiasaan Rasulullah s.a.w. kerana kelebihan dan suasana yang lebih baik dan sejuk berbanding pada waktu siang yang panas. Ibn Hajar al-Asqalani berkata, “Melakukan perjalanan pada waktu malam lebih baik daripada waktu siang sebagaimana yang berlaku dalam perjalanan Israk dan Mikraj. Kerana itu juga kebanyakan ibadah baginda s.a.w lebih banyak dilakukan di malam hari. Begitu juga dengan musafir baginda s.a.w. lebih banyak di malam hari.” (Fath al-Bari 7/217)

5. Disisi mazhab Syafie, disunatkan musafir pada waktu akhir malam (2/3 malam yakni waktu sahur) dan makruh musafir di awal malam. Namun menurut Imam an-Nawawi, tidak makruh musafir pada awal malam. (al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 4/393)




No comments